SIMPOSIUM KEBANGSAAN PSIKOLOGI PEKERJAAN 2020

Pada 20 Disember 2020 yang lalu telah berlangsung Simposium Kebangsaan Psikologi Pekerjaan anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia bersama Persatuan Psikologi Malaysia. Terdapat lima tema utama merangkumi aplikasi psikologi pekerjaan dalam pengurusan sumber manusia, keselamatan dan kesihatan pekerja (KKP), pembangunan organisasi, latihan dan pembangunan pekerja serta penilaian psikologi dalam mengurus pekerja dan pekerjaan.

Saya berpeluang mengikuti sesi bagi tema ke-2 iaitu “Aplikasi psikologi dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP)”. Sesi pembentang daripada panel mencakupi peranan psikologi dalam memastikan KKP, stres pekerjaan dan keseimbangan kerja-kehidupan terhadap kesihatan mental. Sesi perbincangan bersama khalayak yang hadir secara maya bagi mendapatkan suatu resolusi untuk diutarakan. Lontaran pendapat dan cadangan merangkumi aspek psikososial tempat kerja, tekanan mental dan seumpamanya. Turut disentuh amalan pengurusan psikologi bagi sektor industri kecil dan sederhana (IKS). Ini kerana, bagi syarikat-syarikat gergasi dan multi-nasional mereka mempunyai sumber, struktur organisasi dan pengurusan psikologi pekerjaan yang baik. Berbeza bagi sektor IKS yang tidak mempunyai faktor-faktor seperti yang dinyatakan.

Berhubung perkara di atas, lontaran pandangan saya merangkumi peranan perundangan KKP dalam menjayakan sebuah wadah yang boleh dijadikan panduan kepada sektor industri IKS bagi mendepani isu yang dibangkitkan. Seksyen 4 (c) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) jelas menyatakan peruntukan terhadap perkara memastikan keselamatan, kesihatan & kebajikan orang sedang bekerja. Seksyen ini boleh dijadikan titik-tolak utama bagi menyediakan suatu panduan yang boleh dirangka. Bagi mengukuhkan seksyen 4 (c); seksyen 37, AKKP 1994 menghuraikan pembentukan dan kelulusan tataamalan industri (Industrial Code of Practice, ICOP). Atas timbangtara ini, ia boleh dijadikan pembuka jalan dalam pembentukan suatu bentuk tataamalan industri tertumpu terhadap tekanan psikologi dan kognitif terkait pekerjaan khusus untuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Pendekatan tiga pihak (tripartite) terdiri daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Organisasi Pakar Bidang dan Pemain industri utama IKS.

Dengan kehadiran Pengarah JKKP Sarawak diharap sesi perbincangan sampai ke pihak yang lebih berperanan di peringkat Persekutuan. Khususnya melalui resolusi yang diputuskan berhasil. Moga suatu masa nanti akan terbentuk sebuah tataamalan pengurusan tekanan psikologi dan kognitif khusus untuk sektor industri IKS.

Terima kasih pihak Universiti Kebangsaan Malaysia di atas penganjuran program yang sungguh bermakna dan sarat nilai.

#psikologiindustri#faktormanusia#tabiatiorganisasi#tekananpsikologi#tekananmental

Leave a comment