Informasi mengangkat beban Fuji Xerox

Sedang membelek-belek kertas untuk dicetak, terpandang info terpampang pada kotak kertas tersebut. Informasi berkenaan kendalian manual (manual handling). Anggaran berat sekotak kertas adalah 12.5 kg. Jika kita masih ingat beban ideal yang boleh diangkat oleh individu tanpa menyebabkan kecederaan adalah 23 kg (Waters, 1994). Bermaksud tiada faktor risiko beban menjauhi badan, pulasan pinggang, membongkok, keadaan pemegang yang baik dll. Dengan kata lain beban 23 kg boleh diangkat pada kedudukan buku lima (knuckles). 

Namun, sekiranya beban menjauhi badan, kedudukan semakin rendah dll., ia menyebabkan beban yang boleh dikendali semakin berkurang. Pada kedudukan kotak di lantai dan sedikit jauh dari kedudukan kaki menyebabkan individu perlu membongkok untuk mengangkat. Keadaan ini meningkatkan risiko kecederaan belakang. Carta had beban boleh diangkat menunjukkan beban selamat pada kedudukan tersebut adalah antara 5 hingga 10 kg sahaja. Beban 12.5 kg melebihi beban selamat yang boleh diangkat dengan keadaan postur sebegitu. Oleh yang demikian langkah-langkah mengangkat secara selamat perlu dilakukan. Syarikat Fuji Xerox Malaysia mensyorkan mengangkat kotak dengan keadaan lutut dibengkokkan, bukan belakang.

Maklumat bermanfaat ini sekurang-kurangnya memberi penjelasan mengenai tatacara mengangkat beban dengan selamat.

mmh weight

Sakit belakang: nampak remeh tapi signifikan

Perkongsian ringkas mengenai sakit belakang. Sakit belakang merupakan penyakit rangka-otot yang paling lazim berlaku di kalangan pekerja khususnya yang berumur 45 tahun ke bawah; dengan kata lain golongan belia yang masih aktif bekerja. Perkongsian slid taklimat ringkas yang boleh dimanfaatkan bersama-sama pekerja ketika sesi mesyuarat keselamatan dan kesihatan pekerjaan atau sesi ‘toolbox talk‘. Klik pautan di bawah untuk muat turun:

Sakit belakang: nampak remeh tapi signifikan

Penilaian risiko ergonomik (Ergonomic risk assessment)

Penilaian risiko ergonomik bermatlamat untuk menaksir risiko gangguan rangka-otot pekerjaan yang wujud di tempat kerja. Ia merangkumi penaksiran stesenkerja, proses kerja dan ciri-ciri individu pekerja. Prosedur penilaian menyediakan siasatan terperinci beban kerja untuk satu-satu jenis pekerjaan. Terdapat dua jenis penilaian risiko ergonomik:

  1. Penilaian risiko proaktif (safety intervention program), dan
  2. Penilaian risiko berdasarkan laporan PERKESO atau perubatan

Titik semakan ergonomi (Ergonomic checkpoint)

Titik semakan ergonomi (Ergonomic Checkpoints) adalah satu inisiatif pertubuhan buruh antarabangsa (ILO) yang diterbitkan pada 15 Julai 2010. Titik semakan ergonomi (TSE) bermatlamat untuk mengurangkan risiko kemalangan dan penyakit pekerjaan sekaligus memperbaiki keadaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. TSE merangkumi 132 penyelesaian terhadap masalah-masalah ergonomik di tempat kerja. Menariknya penyelesaian yang dicadangkan oleh TSE adalah praktikal. Keunikan TSE menyediakan illustrasi menarik memudahkan kefahaman pengguna terhadap elemen cadangan yang dilontarkan. Umumnya TSE terbahagi kepada beberapa bahagian utama iaitu

  1. penyimpanan dan pengendalian barang
  2. perkakasan tangan
  3. keselamatan jentera
  4. rekabentuk stesenkerja
  5. pencahayaan premis
  6. kawalan bahan dan agen berbahaya
  7. kelengkapan kebajikan
  8. organisasi kerja

Titik semakan ergonomi telah diterjemah kepada pelbagai bahasa termasuklah bahasa melayu. Versi bahasa melayu boleh didapati di kedai-kedai buku yang dikenali seperti MPH.

Muat turun Titik semakan ergonomi versi Bahasa Inggeris di sini:

Ergonomic Checkpoint (ILO)

Penaksiran risiko ergonomik

OSHA1994

Penaksiran ergonomik industri mahu tidak mahu perlu merujuk kepada keperluan undang-undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) adalah akta yang menjadi rujukan untuk sebarang isu keselamatan dan kesihatan tempat kerja. Dalam konteks ergonomik dan faktor manusia, seksyen 15, 17 & 20 sering menjadi rujukan utama. Walaubagaimanapun, akta ini merupakan perundangan berkonsepkan pengaturan kendiri dan umum. Jadi, peruntukan dan arahan yang dinyatakan bersifat abstrak dan tidak spesifik. Selalunya akta ini disokong dengan perundangan yang lebih spesifik seperti Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139). Akta ini mempunyai pendekatan lebih tertumpu dan boleh menjadi justifikasi kuat bersama peruntukan undang-undang dan piawaian sedia ada. Antara piawaian yang boleh menjadi rujukan; Piawaian SIRIM (Piawaian Malaysia), piawaian British, Australia dan lain-lain. Sebagai contoh piawaian MS ISO 9241-910:2012 menjurus terhadap faktor interaksi manusia-sistem dalam ergonomik.

Boleh muat turun pindaan akta kilang dan jentera di sini: Akta Kilang dan Jentera 1967

DAN muat turun akta keselamatan dan kesihatan di sini: Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994

Penaksiran Risiko Ergonomik

Pada 14 dan 15 Februari 2017 yang lalu, sesi penaksiran risiko ergonomik dilaksanakan di lynas Malaysia Sdn Bhd bertempat di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan. Program ini bermatlamat untuk mengenalpasti faktor risiko yang berpotensi menyebabkan gangguan rangka-otot pekerjaan dalam skop pekerjaan kendalian manual di beberapa sektor dan proses rutin dan kritikal premis. Penilaian risiko diketuai oleh Prof. Shukor dibantu oleh saya dan rakan.

Lynas Malaysia Sdn. Bhd. merupakan sebuah loji pemprosesan bahan nadir bumi yang terkandung dalam tanah. Produk akhir yang dihasilkan digunapakai dalam industri elektrik dan elektronik yang amat penting dalam teknologi termaju masakini.

Program meliputi empat peringkat iaitu, taklimat tugas merangkumi skop penilaian, lokasi dan individu pekerja yang terlibat. Kemudian disusuli dengan penilaian lapangan merangkumi analisis tugas, pemerhatian dan rekod aktiviti pekerjaan yang berisiko. Sesi temubual bersama pekerja dilaksana bagi  memastikan maklumat-maklumat penting diperolehi terus daripada mereka. Respons mereka penting untuk menguatkan dapatan pemerhatian dan analisis tugas. Alhamdulillah para pekerja memberi kerjasama yang amat baik.

Program penaksiran ergonomik merupakan salah satu langkah proaktif untuk mengurangkan risiko pekerjaan di industri khususnya melibatkan isu kesihatan pekerjaan. Pihak premis yang telah melaksanakan program penaksiran ergonomik dapat menjimatkan kos rawatan dan kecederaan pekerjaan mencapai 70% selepas intervensi ergonomik dilakukan. Pendek kata, program sebegini  memberi serampang dua mata kepada pihak syarikat dalam meningkatkan produktiviti sekaligus reputasi cemerlang tercapai.

lynas

Luput (lapse) dalam ralat manusia

Luput atau terlupa (lapses) ialah kategori ralat manusia berlaku apabila keupayaan kognitif terbeban. Tumpuan fikiran terpaksa membahagi kepada beberapa pekerjaan atau terganggu disebabkan suatu faktor sehingga individu terlupa peringkat atau proses.

Contoh mudah:

1) Terlupa mengunci pintu kereta.
2) Tak ingat lokasi kita meletak kunci kereta.

Contoh dalam persekitaran industri:

Proses silo A dan silo B; operator di bilik kawalan sedang memberi tumpuan terhadap proses pengosongan silo berdasarkan prosedur. Namun, terganggu dengan isyarat kerdipan amaran panel silo B yang menyebabkan operator terlupa menutup injap no.2 ketika proses sedang berjalan.

Luput sering menjadi punca yang menyebabkan kemalangan berlaku dalam situasi kritikal selamat. Selain itu, ralat ‘tersilap’ juga menjadi penyumbang kepada kemalangan.

Notakaki:

Ralat manusia – human error
Luput – lapse
Silap – slip

#ralatmanusia #humanerror #faktormanusia #humanfactors #lapse #luput #lupa #cognitivedemand
human-error

Ada yang berfikir ergonomik adalah beban. Tidak memberi manfaat kepada bisnes. Dengan tanggapan bahawa Ergonomik memerlukan belanjawan atau kos tinggi semata-mata memenuhi objektif penambahbaikan. Ergonomik juga digambarkan sebagai kemewahan. 

Tidak dinafikan peralatan menepati kriteria mesra pengguna agak mahal berbanding yang biasa. Namun, realitinya ergonomik memberi manfaat kepada bisnes. Malah berkesan dari segi kos (cost effective). Bagaimana?

BEGINI – Kita perlu melihat ergonomik dalam mekanisme menyeluruh. Dengan kata lain, ‘Pekerjaan sebagai satu sistem’. 

Penelitian dari awal hingga akhir perlu sebelum sebarang langkah penambahbaikan. Bukan sekadar membekalkan peralatan ‘ergonomik’ semata-mata tanpa mengambilkira faktor yang lebih utama. Contohnya melengkapi pejabat dengan kerusi ergonomik dengan hasrat mengurangkan gejala sakit belakang. Itu pendekatan ad-hoc dan sudah pasti kosnya juga tinggi.  

Ergonomik adalah agen penyelesaian masalah. Ia mengajak individu dlm syarikat terlibat sama menyumbang saran idea. Tidak semestinya peralatan yang mahal lebih ergonomik. Asasnya adalah bagaimana pekerja berinteraksi dengan persekitaran kerja mereka. Ini merangkumi alat, peranti, perkakas, mesin dan ruang kerja. Sia-sia saja jika sekadar mengesyorkan peralatan berteknologi tinggi tapi tidak mesra pekerja.

Sumbang saran (brainstorming)

Sesi sumbang saran meliputi pelbagai aspek pekerjaan seperti analisis tugas, penilitian proses kerja dan pengenalpastian faktor-faktor yang mengganggu. Faktor risiko terhadap pekerja diberi perhatian. Dengan cara ini, cadangan penambahbaikan kelak lebih berkesan dan realistik.

Hari kidal sedunia

ILD

Hari ini merupakan hari kidal sedunia (International lefthanders day). Berbicara dalam konteks faktor manusia dan ergonomik ia suatu isu yang menarik dibincangkan. Mencakupi kupasan bagaimana peranan fisiologi, kinematik dengan rekabentuk peralatan; salingkait antaranya dll.

Selamat hari kidal sedunia!

Kursus asas ergonomik untuk ahli perniagaan dan kakitangan sumber manusia

Alhamdulillah, selesai berkongsi ilmu ergonomi bersama bakal-bakal ahli perniagaan (mungkin bakal menjadi seorang pengurus sebuah organisasi besar, mungkin juga seorang eksekutif sumber manusia). Jesteru kursus ringkas ini bermatlamat memberi pendedahan mengenai ilmu asas ergonomi kepada mereka. Moga beroleh manfaat, InsyaAllah.

Sebagai individu yang berperanan dalam hal-ehwal sumber manusia/pengurusan, aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di bawah mereka menjadi tanggungjawab yang perlu diberi perhatian. Sejajar dengan iltizam ini, dedahan terhadap ilmu keselamatan dan kesihatan amat perlu; antaranya ilmu asas ergonomi. Ergonomi merupakan satu bidang yang mementingkan saling-hubung (interaction) pekerja dan persekitaran kerja mereka yang merangkumi mesin/alatan/persekitaran mikro dan makro. Saling-hubung yang baik dapat mencegah kemalangan dan kecederaan, gangguan saikologi (spt tekanan perasaan, motivasi negatif), kerosakan serta persekitaran yang terjejas.

Kursus ini sesuai untuk golongan:

  1. Pengurus besar
  2. Pengurus & eksekutif sumber manusia
  3. Pengurusan & eksekutif pengeluaran
  4. Pengurus & eksekutif pemasaran

Pekerja merupakan aset penting sesebuah organisasi syarikat. Tanpa mereka keuntungan tidak dapat dicapai.

Ceramah ergoceramah ergo 2