Informasi mengangkat beban Fuji Xerox

Sedang membelek-belek kertas untuk dicetak, terpandang info terpampang pada kotak kertas tersebut. Informasi berkenaan kendalian manual (manual handling). Anggaran berat sekotak kertas adalah 12.5 kg. Jika kita masih ingat beban ideal yang boleh diangkat oleh individu tanpa menyebabkan kecederaan adalah 23 kg (Waters, 1994). Bermaksud tiada faktor risiko beban menjauhi badan, pulasan pinggang, membongkok, keadaan pemegang yang baik dll. Dengan kata lain beban 23 kg boleh diangkat pada kedudukan buku lima (knuckles). 

Namun, sekiranya beban menjauhi badan, kedudukan semakin rendah dll., ia menyebabkan beban yang boleh dikendali semakin berkurang. Pada kedudukan kotak di lantai dan sedikit jauh dari kedudukan kaki menyebabkan individu perlu membongkok untuk mengangkat. Keadaan ini meningkatkan risiko kecederaan belakang. Carta had beban boleh diangkat menunjukkan beban selamat pada kedudukan tersebut adalah antara 5 hingga 10 kg sahaja. Beban 12.5 kg melebihi beban selamat yang boleh diangkat dengan keadaan postur sebegitu. Oleh yang demikian langkah-langkah mengangkat secara selamat perlu dilakukan. Syarikat Fuji Xerox Malaysia mensyorkan mengangkat kotak dengan keadaan lutut dibengkokkan, bukan belakang.

Maklumat bermanfaat ini sekurang-kurangnya memberi penjelasan mengenai tatacara mengangkat beban dengan selamat.

mmh weight

Open Day Universiti Selangor

openday unisel

Pada 20 hingga 22 Mei 2017 telah berlangsung hari terbuka Universiti Selangor di kampus Shah Alam. Hari terbuka ini julung-julung kalinya diadakan melibatkan kerjasama pelbagai pihak. Pelbagai program menarik dan bermanfaat tersedia kepada pengunjung merangkumi pameran fakulti-fakulti, demonstrasi rekacipta, saringan kesihatan percuma dan aktiviti melibatkan pengunjung dewasa dan kanak-kanak.

Program Keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH Unisel) terlibat sama dalam menjayakan hari terbuka ini. Terdapat pameran berkaitan dengan keselamatan industri, ujian kesihatan dan penerangan berkaitan skop OSH di Unisel. Alhamdulillah ramai yang berkunjung ke booth OSH Unisel. Booth OSH Unisel menyediakan khidmat ujian Phalen untuk mengenalpasti gejala carpal tunnel (penyakit rangka-otot melibatkan pergelangan tangan), kuiz berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan demo rawatan awal mangsa pengsan.

Gejala carpal tunnel sering berlaku di kalangan individu yang kerap menggunakan tangan secara melampau seperti menaip dan pergerakan tangan berulang-ulang memberi kesan terhadap saraf median tangan. Saraf median tersepit akibat selaput yang menebal atau pengumpulan cecair di kawasan tersebut. Individu yang menghidapi penyakit carpal tunnel menunjukkan tanda-tanda seperti rasa kebas, kesemutan (tingling) dan tangan tidak berupa menggenggam. Ujian Phalen bukan untuk diagnosis penyakit rangka-otot pergelangan tangan tetapi lebih kepada untuk melihat tanda-tanda sekiranya individu menghidapi penyakit ini. Ujian terperinci perlu dibuat untuk  memastikan ia positif.

Manakala demo rawatan awal mangsa pengsan melibatkan patung (dummy)  yang diletakkan berbaring di depan booth. Ia merupakan daya penarik kepada pengunjung melihat susuk tubuh terbaring. Ada yang bertanyakan sebab dan tidak kurang pengunjung yang bergambar dengan patung. Saya berkesempatan menunjukkan cara mengurus mangsa yang pengsan akibat kemalangan. Pengunjung begitu perihatin mendengar penerangan dan demo yang saya lakukan.

Secara ringkas, hari terbuka Unisel memberi manfaat kepada pengunjung mengenai aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan khususnya melibatkan penyakit carpal tunnel dan lain-lain aspek kesihatan pekerjaan.

Sakit belakang: nampak remeh tapi signifikan

Perkongsian ringkas mengenai sakit belakang. Sakit belakang merupakan penyakit rangka-otot yang paling lazim berlaku di kalangan pekerja khususnya yang berumur 45 tahun ke bawah; dengan kata lain golongan belia yang masih aktif bekerja. Perkongsian slid taklimat ringkas yang boleh dimanfaatkan bersama-sama pekerja ketika sesi mesyuarat keselamatan dan kesihatan pekerjaan atau sesi ‘toolbox talk‘. Klik pautan di bawah untuk muat turun:

Sakit belakang: nampak remeh tapi signifikan

Bachelor of Occupational Safety & Health (July 2017 intake)

Peluang melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Unisel.
 .
Mohon sekarang di http://apply.unisel.edu.my
 .
Kelebihan program:
 .
– diiktiraf oleh MQA dan KPT
– kemudahan pinjaman/biasiswa
– pendedahan industri
– pensyarah berpengalaman
– yuran berpatutan
– kemudahan asrama & tempat tinggal
– lokasi kampus strategik: Shah Alam
– ciri-ciri city campus
– aktiviti pelajar aktif (http://osheunisel.wordpress.com)
– silibus dan modul dikemaskini
– pembelajaran teori dan praktikal
.
Ayuh sertai kami. Datang ke kampus kami di Shah Alam untuk mendapatkan maklumat terkini secara bersemuka. Dapatkan khidmat nasihat mengenai prospek kerjaya, struktur program dan lain-lain.
 .
osh intake

Penilaian hasil penyelidikan

penilaian

Selaku penilai pembentangan hasil penyelidikan pelajar Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kepujian). Kajian-kajian yang dihasilkan oleh pelajar dilakukan di sektor industri; oleh yang demikian dapatan kajian  mereka sedikit sebanyak berguna untuk mengetahui pola dan perkembangan terkini isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia.

SOHELP (SYSTEMATIC OCCUPATIONAL HEALTH ENHANCEMENT LEVEL PROGRAMME)

Tahap kesedaran mengenai peri penting isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan mula mendapat tempat dalam sektor industri di Malaysia. Ini merupakan suatu perkembangan yang sihat menjadi petunjuk peningkatan budaya keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Baru-baru ini, pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah melancarkan program baharu untuk menarik minat pihak industri untuk terlibat sama dalam isu-isu keselamatan di tempat kerja. Program tersebut diberi nama SoHELP atau Systematic occupational health enhancement level – Penambahbaikan aras kesihatan pekerjaan sistematik. Konvensyen SoHELP tahun 2017 telah dirasmikan pada bulan Mac 2017 yang lalu. Klik: Konvensyen SoHELP Kebangsaan 2017 untuk perincian program tersebut. Maklumat pencapaian sila klik: Laporan pencapaian SoHELP Fasa 1
 .
Perkongsian pelbagai wakil sektor industri mengenai pencapaian SoHELP 2016 (Fasa 1):
.
.
Apakah SoHELP?
.
SoHELP adalah satu inisiatif JKKP untuk menggalakkan industri untuk melaksanakan program peningkatan taraf kesihatan pekerjaan di tempat kerja secara sistematik. Pendekatan pengaturan kendiri atau inisiatif syarikat untuk membentuk dan melaksana program kesihatan pekerjaan adalah keunikan program SoHELP. Ini  bermaksud, kejayaan program ini bergantung sepenuhnya kepada iltizam syarikat dalam melaksana dengan berkesan. SoHELP adalah satu program di bawah pelan induk kesihatan dan keselamatan pekerjaan (OSH MP – 2020). Klik: Pelan induk keselamatan dan kesihatan pekerjaan untuk perincian.
.

SoHELP mempunyai tiga isu kesihatan pekerjaan yang ditekankan iaitu pengurusan bahan kimia, ergonomik tempat kerja dan perlindungan pendengaran. Ketiga-tiga isu ini perlu ditadbir urus secara sistematik oleh syarikat. Oleh yang demikian, kejayaan program ini bukan terletak pada bahu seorang tetapi memerlukan sokongan berkumpulan. Jesteru satu jawatankuasa khusus perlu dibangunkan untuk menjadi badan penggerak program ini.

.
Secara umum SoHELP melibatkan kerjasama syarikat, JKKP dan wakil keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam syarikat. Petunjuk aras SoHELP sesuatu syarikat ditentukan melalui   penaziran yang dilakukan oleh JKKP. Perlaksanaan SoHELP dilakukan secara berperingkat. SoHELP mempunyai lima aras perlaksanaan:
.
  1. entry level (peringkat permulaan: iltizam majikan)
  2. basic level (individu bertanggungjawab menjalani latihan)
  3. intermediate level (penaksiran risiko)
  4. advanced level (perlaksanaan & penambahbaikan)
  5. excellent level (perlaksanaan & penambahbaikan menyeluruh)

Lima aras petunjuk ini membuktikan perlaksanaan SoHELP tidaklah terburu-buru tetapi secara tersusun dan berperingkat. Ia sesuai dengan pendekatan peningkatan berterusan ‘continual improvement‘ dalam PDCA atau ISO9001. Secara tidak langsung memastikan program-program berkaitan kesihatan pekerjaan dapat terserap di kalangan penghuni syarikat.

Bagaimana hendak melaksana?

Peringkat pertama sebelum program SoHELP dilaksana, individu dan jawatankuasa yang bertanggungjawab terhadap program ini perlu dibentuk dan dipersetujui oleh individu tertinggi syarikat. Ini bermaksud, iltizam individu tertinggi syarikat adalah kunci asas kejayaan program ini. Seterusnya jawatankuasa berperanan merangka dan membentuk pelan tindakan SoHELP. Kerangka kerja SoHELP amat penting untuk memastikan perjalanan program-program yang dirancang tersusun. Kerangka kerja SoHELP ibarat manual keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Jesteru, individu dan jawatakuasa ini dikehendaki menghadiri kursus pengenalan dan penyesuaian konsep SoHELP dan perlaksanaannya.

Penaksiran risiko adalah titik permulaan untuk mengenalpasti isu-isu kesihatan pekerjaan di tempat kerja merangkumi aspek pengurusan bahan kimia, isu ergonomik tempat kerja dan perlindungan pendengaran. Proses penaksiran risiko boleh dilaksana secara dalaman atau jemputan luar. Sekiranya pihak syarikat mampu menjalankan penaksiran risiko maka ia suatu kelebihan kepada syarikat dari segi kos, masa dan tenaga kepakaran. Namun sekiranya tiada, maka menjemput kepakaran luar untuk melaksana amat dicadangkan contohnya pengapit CHRA, penaksir ergonomik tempat kerja dan higen industri untuk penaksiran kebisingan tempat kerja.

Rajah 1: Kaedah penaziran. Sumber: slid laporan prestasi SoHELP fasa 1, JKKP

Seterusnya, input yang diperolehi dari penaksiran risiko perlu diberi perhatian. Isu-isu utama melibatkan kesihatan pekerjaan disenarai pendek untuk perlaksanaan tambahbaik. Seeloknya wujudkan sistem pengkalan data untuk tujuan ini sebagai contoh ergonomic related risk factors register (sekadar cadangan) bagi menyokong titik semakan ergonomi (Ergonomic checkpoints, ILO). Pengkalan data ini penting untuk rujukan bersama dan berguna ketika proses penazirandilaksana oleh kumpulan penaziran JKKP mengikut negeri. Rajah 1 menunjukkan kaedah penaziran SoHELP oleh JKKP. Enabler adalah pegawai keselamatan dan kesihatan (SHO) manakala Verifier adalah pegawai JKKP. Rajah 2 menunjukkan proses perlaksanaan SoHELP.

.
Rajah 2: Proses perlaksanaan SoHELP. Sumber: slid laporan prestasi SoHELP fasa 1, JKKP
.
Sebagai kesimpulan, kejayaan SoHELP bukan bergantung kepada kerja individu semata-mata tetapi melibatkan iltizam semua pihak dalam syarikat. SoHELP perlu dilaksana secara sistematik dan berperingkat supaya impaknya dirasai segenap penjuru syarikat. Pastikan wujud pihak bertanggungjawab memastikan perjalanan proses ini. Penaksiran risiko boleh dilaksana secara dalaman atau jemputan luar bergantung kepada tahap kesediaan syarikat. Input penaksiran risiko perlu diberi perhatian dari segi penambahbaikan dan perlaksanaan. Jesteru digalakkan pihak syarikat mewujudkan pengkalan data bagi tujuan ini.
.
Penerangan mengenai SoHELP dan proses perlaksanaan oleh JKKP klik: Pengenalan SoHELP oleh JKKP

Penilaian risiko ergonomik (Ergonomic risk assessment)

Penilaian risiko ergonomik bermatlamat untuk menaksir risiko gangguan rangka-otot pekerjaan yang wujud di tempat kerja. Ia merangkumi penaksiran stesenkerja, proses kerja dan ciri-ciri individu pekerja. Prosedur penilaian menyediakan siasatan terperinci beban kerja untuk satu-satu jenis pekerjaan. Terdapat dua jenis penilaian risiko ergonomik:

  1. Penilaian risiko proaktif (safety intervention program), dan
  2. Penilaian risiko berdasarkan laporan PERKESO atau perubatan

Titik semakan ergonomi (Ergonomic checkpoint)

Titik semakan ergonomi (Ergonomic Checkpoints) adalah satu inisiatif pertubuhan buruh antarabangsa (ILO) yang diterbitkan pada 15 Julai 2010. Titik semakan ergonomi (TSE) bermatlamat untuk mengurangkan risiko kemalangan dan penyakit pekerjaan sekaligus memperbaiki keadaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. TSE merangkumi 132 penyelesaian terhadap masalah-masalah ergonomik di tempat kerja. Menariknya penyelesaian yang dicadangkan oleh TSE adalah praktikal. Keunikan TSE menyediakan illustrasi menarik memudahkan kefahaman pengguna terhadap elemen cadangan yang dilontarkan. Umumnya TSE terbahagi kepada beberapa bahagian utama iaitu

  1. penyimpanan dan pengendalian barang
  2. perkakasan tangan
  3. keselamatan jentera
  4. rekabentuk stesenkerja
  5. pencahayaan premis
  6. kawalan bahan dan agen berbahaya
  7. kelengkapan kebajikan
  8. organisasi kerja

Titik semakan ergonomi telah diterjemah kepada pelbagai bahasa termasuklah bahasa melayu. Versi bahasa melayu boleh didapati di kedai-kedai buku yang dikenali seperti MPH.

Muat turun Titik semakan ergonomi versi Bahasa Inggeris di sini:

Ergonomic Checkpoint (ILO)

Penaksiran risiko ergonomik

OSHA1994

Penaksiran ergonomik industri mahu tidak mahu perlu merujuk kepada keperluan undang-undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) adalah akta yang menjadi rujukan untuk sebarang isu keselamatan dan kesihatan tempat kerja. Dalam konteks ergonomik dan faktor manusia, seksyen 15, 17 & 20 sering menjadi rujukan utama. Walaubagaimanapun, akta ini merupakan perundangan berkonsepkan pengaturan kendiri dan umum. Jadi, peruntukan dan arahan yang dinyatakan bersifat abstrak dan tidak spesifik. Selalunya akta ini disokong dengan perundangan yang lebih spesifik seperti Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139). Akta ini mempunyai pendekatan lebih tertumpu dan boleh menjadi justifikasi kuat bersama peruntukan undang-undang dan piawaian sedia ada. Antara piawaian yang boleh menjadi rujukan; Piawaian SIRIM (Piawaian Malaysia), piawaian British, Australia dan lain-lain. Sebagai contoh piawaian MS ISO 9241-910:2012 menjurus terhadap faktor interaksi manusia-sistem dalam ergonomik.

Boleh muat turun pindaan akta kilang dan jentera di sini: Akta Kilang dan Jentera 1967

DAN muat turun akta keselamatan dan kesihatan di sini: Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994