Garispanduan HIRARC 2008

Poster evaluation

Pada 14 Julai 2017 (Jumaat), saya telah dijemput untuk menilai tugasan HIRARC dan penaksiran higen industri oleh pelajar tahun akhir Ijazah sarjana muda kesihatan & keselamatan persekitaran UiTM. Terdapat beberapa tugasan yang menarik minat saya dari segi aplikasi HIRARC dan pendekatan taksiran higen industri. Secara keseluruhan garis panduan HIRARC JKKP (2008) menjadi panduan kepada mereka manakala beberapa perundangan dan standard lain digunapakai untuk penaksiran higen industri seperti Peraturan dedahan bising, kilang dan jentera, 1989 dan lain-lain. Kiriman ini berhasrat untuk mengupas HIRARC 2008, JKKP.

Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC), 2008 merupakan dokumen dibangunkan sebagai panduan pihak industri untuk menjalankan HIRARC. Umumnya garis panduan ini menghuraikan konsep HIRARC dan tatacara menjalankan HIRARC secara sistematik. Justeru pendekatan ringkas dokumen ini memudahkan individu dari pelbagai lapangan industri untuk memahaminya.

Dokomen HIRARC 2008 tidak sesuai dijadikan sebagai sumber tunggal semata-mata untuk menaksir dan mengawal risiko. Tetapi dengan memahami konsep HIRARC 2008, maka diharap HIRARC 2008 boleh ditambahbaik supaya penaksiran risiko yang dilaksana munasabah dan tepat. Setiap sektor industri adalah unik; risiko sektor A tidak sama dengan risiko sektor B, maka penambahbaikan HIRARC 2008 bersesuaian dengan keadaan sebenar sektor industri adalah wajar. Kemungkinan (likelihood) dan Keterukan (severity) risiko berdasarkan HIRARC 2008 bersifat subjektif dan berfungsi memberi idea kepada pengguna untuk kelasan umum. Contoh, HIRARC 2008 menyatakan:

Kemungkinan (paling mungkin) – hazard/kejadian paling mungkin berlaku pada skala 5. Pengelasan bersifat subjektif ini boleh menjadi panduan kepada pihak industri untuk menambahbaik sesuai dengan keadaan premis mereka. Paling tepat berdasarkan statistik keselamatan dan kesihatan pekerjaan atau rekod-rekod kemalangan nyaris atau data U See U Act sedia ada.  Pengelasan di bawah adalah contoh kelas kemungkinan risiko.

5 – berlaku suku tahunan (dalam masa 4 bulan)

4 – berlaku dalam setengah tahun (dalam masa 6 bulan)

3 – berlaku dalam masa setahun

2 – berlaku dalam lima tahun

1 – berlaku tidak kurang 10 tahun

Senario industri: Data U See U Act atau statistik menunjukkan objek jatuh dari tempat tinggi pernah berlaku dalam masa 4 bulan (suku tahunan). Maka kategori kemungkinan terletak pada kelas 5. Dengan ini, pengelasan yang pada asalnya bersifat subjektif menjadi lebih spesifik berdasarkan situasi semasa syarikat.

Perihal yang sama juga untuk kategori keterukan risiko. Maklumat tahap keterukan kemalangan juga boleh didapati berdasarkan statistik premis dan maklumat terperinci berdasarkan pelbagai sumber. Contoh: objek jatuh dari tempat tinggi berupaya menyebabkan keretakan cranial dan pendarahan serius (berdasarkan rujukan klinikal) atau rekod-rekod sedia ada premis atau luar.

Advertisements

Penilaian risiko ergonomik (Ergonomic risk assessment)

Penilaian risiko ergonomik bermatlamat untuk menaksir risiko gangguan rangka-otot pekerjaan yang wujud di tempat kerja. Ia merangkumi penaksiran stesenkerja, proses kerja dan ciri-ciri individu pekerja. Prosedur penilaian menyediakan siasatan terperinci beban kerja untuk satu-satu jenis pekerjaan. Terdapat dua jenis penilaian risiko ergonomik:

  1. Penilaian risiko proaktif (safety intervention program), dan
  2. Penilaian risiko berdasarkan laporan PERKESO atau perubatan

Penaksiran Risiko Ergonomik

Pada 14 dan 15 Februari 2017 yang lalu, sesi penaksiran risiko ergonomik dilaksanakan di lynas Malaysia Sdn Bhd bertempat di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan. Program ini bermatlamat untuk mengenalpasti faktor risiko yang berpotensi menyebabkan gangguan rangka-otot pekerjaan dalam skop pekerjaan kendalian manual di beberapa sektor dan proses rutin dan kritikal premis. Penilaian risiko diketuai oleh Prof. Shukor dibantu oleh saya dan rakan.

Lynas Malaysia Sdn. Bhd. merupakan sebuah loji pemprosesan bahan nadir bumi yang terkandung dalam tanah. Produk akhir yang dihasilkan digunapakai dalam industri elektrik dan elektronik yang amat penting dalam teknologi termaju masakini.

Program meliputi empat peringkat iaitu, taklimat tugas merangkumi skop penilaian, lokasi dan individu pekerja yang terlibat. Kemudian disusuli dengan penilaian lapangan merangkumi analisis tugas, pemerhatian dan rekod aktiviti pekerjaan yang berisiko. Sesi temubual bersama pekerja dilaksana bagi  memastikan maklumat-maklumat penting diperolehi terus daripada mereka. Respons mereka penting untuk menguatkan dapatan pemerhatian dan analisis tugas. Alhamdulillah para pekerja memberi kerjasama yang amat baik.

Program penaksiran ergonomik merupakan salah satu langkah proaktif untuk mengurangkan risiko pekerjaan di industri khususnya melibatkan isu kesihatan pekerjaan. Pihak premis yang telah melaksanakan program penaksiran ergonomik dapat menjimatkan kos rawatan dan kecederaan pekerjaan mencapai 70% selepas intervensi ergonomik dilakukan. Pendek kata, program sebegini  memberi serampang dua mata kepada pihak syarikat dalam meningkatkan produktiviti sekaligus reputasi cemerlang tercapai.

lynas