Penaksiran Risiko Ergonomik

Pada 14 dan 15 Februari 2017 yang lalu, sesi penaksiran risiko ergonomik dilaksanakan di lynas Malaysia Sdn Bhd bertempat di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan. Program ini bermatlamat untuk mengenalpasti faktor risiko yang berpotensi menyebabkan gangguan rangka-otot pekerjaan dalam skop pekerjaan kendalian manual di beberapa sektor dan proses rutin dan kritikal premis. Penilaian risiko diketuai oleh Prof. Shukor dibantu oleh saya dan rakan.

Lynas Malaysia Sdn. Bhd. merupakan sebuah loji pemprosesan bahan nadir bumi yang terkandung dalam tanah. Produk akhir yang dihasilkan digunapakai dalam industri elektrik dan elektronik yang amat penting dalam teknologi termaju masakini.

Program meliputi empat peringkat iaitu, taklimat tugas merangkumi skop penilaian, lokasi dan individu pekerja yang terlibat. Kemudian disusuli dengan penilaian lapangan merangkumi analisis tugas, pemerhatian dan rekod aktiviti pekerjaan yang berisiko. Sesi temubual bersama pekerja dilaksana bagi  memastikan maklumat-maklumat penting diperolehi terus daripada mereka. Respons mereka penting untuk menguatkan dapatan pemerhatian dan analisis tugas. Alhamdulillah para pekerja memberi kerjasama yang amat baik.

Program penaksiran ergonomik merupakan salah satu langkah proaktif untuk mengurangkan risiko pekerjaan di industri khususnya melibatkan isu kesihatan pekerjaan. Pihak premis yang telah melaksanakan program penaksiran ergonomik dapat menjimatkan kos rawatan dan kecederaan pekerjaan mencapai 70% selepas intervensi ergonomik dilakukan. Pendek kata, program sebegini  memberi serampang dua mata kepada pihak syarikat dalam meningkatkan produktiviti sekaligus reputasi cemerlang tercapai.

lynas

Ada yang berfikir ergonomik adalah beban. Tidak memberi manfaat kepada bisnes. Dengan tanggapan bahawa Ergonomik memerlukan belanjawan atau kos tinggi semata-mata memenuhi objektif penambahbaikan. Ergonomik juga digambarkan sebagai kemewahan. 

Tidak dinafikan peralatan menepati kriteria mesra pengguna agak mahal berbanding yang biasa. Namun, realitinya ergonomik memberi manfaat kepada bisnes. Malah berkesan dari segi kos (cost effective). Bagaimana?

BEGINI – Kita perlu melihat ergonomik dalam mekanisme menyeluruh. Dengan kata lain, ‘Pekerjaan sebagai satu sistem’. 

Penelitian dari awal hingga akhir perlu sebelum sebarang langkah penambahbaikan. Bukan sekadar membekalkan peralatan ‘ergonomik’ semata-mata tanpa mengambilkira faktor yang lebih utama. Contohnya melengkapi pejabat dengan kerusi ergonomik dengan hasrat mengurangkan gejala sakit belakang. Itu pendekatan ad-hoc dan sudah pasti kosnya juga tinggi.  

Ergonomik adalah agen penyelesaian masalah. Ia mengajak individu dlm syarikat terlibat sama menyumbang saran idea. Tidak semestinya peralatan yang mahal lebih ergonomik. Asasnya adalah bagaimana pekerja berinteraksi dengan persekitaran kerja mereka. Ini merangkumi alat, peranti, perkakas, mesin dan ruang kerja. Sia-sia saja jika sekadar mengesyorkan peralatan berteknologi tinggi tapi tidak mesra pekerja.

Sumbang saran (brainstorming)

Sesi sumbang saran meliputi pelbagai aspek pekerjaan seperti analisis tugas, penilitian proses kerja dan pengenalpastian faktor-faktor yang mengganggu. Faktor risiko terhadap pekerja diberi perhatian. Dengan cara ini, cadangan penambahbaikan kelak lebih berkesan dan realistik.

Hari kidal sedunia

ILD

Hari ini merupakan hari kidal sedunia (International lefthanders day). Berbicara dalam konteks faktor manusia dan ergonomik ia suatu isu yang menarik dibincangkan. Mencakupi kupasan bagaimana peranan fisiologi, kinematik dengan rekabentuk peralatan; salingkait antaranya dll.

Selamat hari kidal sedunia!

Ilmu asas seorang ahli ergonomik

Seorang ahli ergonomi (ergonomis) perlu memiliki ilmu pengetahuan seperti:

Anatomi dan fisiologi meliputi: antropometri (ilmu mengukur badan manusia); keupayaan fizikal, gangguan rangka-otot, kaitan umur dan keupayaan, penderiaan dan motor.

Persekitaran kerja meliputi: kebisingan, suhu sekeliling, penglihatan dan pencahayaan, getaran, rentak circadian, kelesuan fisiologi, daya-G, dan persekitaran hypoborik.

llmu saikologi, meliputi: perilaku dan pendirian, dorongan dan motivasi, tanggapan risiko, tekanan saikologi, budaya keselamatan, kerja berkumpulan, kemahiran membuat keputusan, keupayaan kognitif dan perilaku organisasi.

Orang dan sistem, termasuklah: sistem manusia-jentera,  elisiator pengetahuan dan teori sistem.

Kaedah dan peralatan, termasuklah: rekabentuk eksperimental, statistik dan teknik pengiraan dan pengukuran.

Sumber: Chartered Institute of Ergonomics and Human Factors

CIEHF-picture:

Rekabentuk stesenkerja

Kesepadanan dan keselesaan bekerja bergantung kepada keadaan dan persekitaran tempat kerja. Dari segi fizikal, stesenkerja yang mematuhi prinsip saling-hubung manusia dengan pekerjaan (mesin-persekitaran) membantu dalam peningkatan prestasi. Maklumat anatomi & fisiologi dalam merekabentuk stesenkerja berguna untuk penentuan had dan keupayaan seseorang.

Antara yang diambilkira dalam rekabentuk stesenkerja:

  • Jarak jangkauan efektif, sederhana dan jauh
  • Beban otot (static & dynamic efforts) termasuk kelesuan & pemulihan
  • Kekuatan kerahan tenaga maksimum dan minimum
  • Ruangkerja
  • Bebanan kognitif

adjustable workstation

Hubungan manusia-jentera (HMJ)

Hubungan manusia-jentera (HMJ) merupakan gagasan ergonomik dan kejuruteraan faktor manusia yang berperanan memastikan rekabentuk jentera dan manusia berada dalam keadaan serasi dan selamat. Boff (2006) menegaskan bahawa matlamat keseluruhan HMJ adalah mengoptimumkan kecekapan manusia, kesejahteraan & keselamatan dan mutu kerja yang secara tidak langsung mengurangkan risiko kemalangan. Beliau mengelaskan perkembangan ergonomik dan faktor manusia kepada empat generasi utama iaitu:

Generasi Pertama: Peringkat awal pendedahan ilmu ergonomik dalam industri ketenteraan khususnya (Perang Dunia Kedua). Ketika itu, di Eropah dan Amerika Syarikat perang dunia pertama dan kedua (antara tahun 1918 hingga 1945) sedang hebat berlaku. Pihak-pihak yang terlibat gigih melaksanakan pelbagai kajian untuk mengembangkan teknologi ketenteraan mereka. Perang dunia pertama menyaksikan askar dikerah berperang tanpa mengambilkira keberkesanan kendalian senjata. Namun, pihak tentera mengakui peri pentingnya keserasian senjata dengan askar bagi memastikan keberkesanan serangan dan pertahanan. Perang dunia kedua menyaksikan ilmu ergonomik dan faktor manusia pesat membangun. Badan penyelidikan seperti Medical Research Council (lihat Boff, 2006) melakukan penyelidikan berkenaan keupayaan pasukan artileri mengendalikan senjata berat.

Generasi Kedua: Mula memberi perhatian terhadap keupayaan kognitif. Industri mula menggunapakai teknologi perkomputeran dan pengautomatan.

Generasi Ketiga: Penyelidikan berkaitan keupayaan fizikal dan kognitif bertambah maju dengan kehadiran pelbagai teknologi termaju. Contoh: peranti penderiaan bio-elektrik kawalan impuls saraf (neuro-muscular) yang ditanam (implanted) atau dipasang di anggota badan menghasilkan pekerja yang mampu serasi dengan teknologi sedia ada.

Generasi Keempat: Mula menerobos bidang genetik dan sel. Mengubah struktur DNA dengan mengubah kod lemah kepada kod kuat. Atau mengubah keupayaan fizikal dan/atau kognitif manusia untuk memaksimumkan keberkesanan kerja.

Namun, teknologi generasi ketiga dan keempat masih belum diterimapakai sepenuhnya oleh masyarakat dunia umumnya. Ini berkaitan dengan etika dalam penyelidikan dan pembangunan yang melibatkan manusia. Sebarang aspek penyelidikan atau penerokaan berkaitan dengan manipulasi manusia dianggap mencabul hak keperibadian individu. Teknologi tersebut juga amat mahal, terutamanya bagi negara-negara membangun seperti Malaysia yang amat mustahil konsep ini diketengahkan.

Rujukan

Boff, K. R. (2006). Revolutions and shifting paradigms in human factors & ergonomics. Applied Ergonomics 37:391–399.

HMJ

Apakah Ergonomik?

Ergonomik

Ergonomik merupakan bidang mengkaji tingkahlaku atau perbuatan manusia. Namun begitu bagi mengkhususkan lagi takrifan ‘Ergonomik’ penulis merumuskannya seperti berikut;

“Bidang ergonomik bertujuan untuk mengkaji kemanfaatan sesuatu keadaan terhadap perbuatan manusia dalam kehidupan sehari-hari”.

Timbangtara takrifan tersebut merangkumi ruanglingkup kehidupan manusia keseluruhannya tidak terhad kepada pekerjaan semata-mata malah merangkumi perbuatan manusia sehari-hari.

Bidang ergonomik mula dibicarakan secara khusus dan tersusun pada kurun ke-16 apabila Bernardino Ramazinni (1644 – 1723) yang bergelar “Bapa Perubatan Pekerjaan” mengkaji hubungan masalah penyakit dengan pekerjaan atau penyakit pekerjaan di industri. Beliau menulis di dalam makalahnya yang bertajuk De Morbis Artificum (Penyakit-penyakit Pekerja) pada tahun 1713. Berikut merupakan petikan yang terjemahkan bahasa latin ke inggeris oleh M. De Foureau (t.th.) berdasarkan makalah berkenaan;

Yet this certain that in each City and Town, vast Numbers of Persons still earn their Bread by writing. The Diseases of Persons incident to this Craft arise from three Causes; first, constant Sitting; secondly, the perpetual Motion of the Hand in the same manner; and, thirdly, the Attention and Application of the Mind.

Now this certain that constant sitting produces Obstructions of the Viscera, especially of the Liver and Spleen, Crudities of the Stomach, a Torper of the Leggs, a languid Motion of the refluent Blood and Cacbexies. In a word, Writers are depriv’d of all the Advantages arising from moderate and salutary Exercise.

Constant writing also considerably fatigues the Hand and whole Arm, on account of the continual and almost tense Tension of the Muscles and Tendons. I knew a Man who, by perpetual writing, began first to complain of an excessive Weariness of his whole right Arm, which could be remov’d by no Medicines, and was at last Succeeded by a perfect Pally of the whole Arm. That he might sustain as little Loss as possible by the Accident, he learn’d to write with his left Hand, which was soon after seiz’d with the same Disorder.” [1]

Walaubagaimanapun perkataan “Ergonomik” mula diperkenalkan oleh ahli biologi berbangsa Polish yang bernama Wojciech Jastrzebowski (1857) di dalam makalahnya yang bertajuk Rys ergonomji czyli nauki o pracy, opartej na prawdach poczerpniętych z Nauki Przyrody (Garis panduan, sains tatacara kerja berdasarkan kebenaran yang diambil daripada sains tabii, 1857) [2]. Beliau merupakan orang pertama menggunakan perkataan ‘Ergonomik’ dalam kajiannya. Dengan merujuk penggunaan bahasa Greek Ergon yang bermaksud Kerja dan Nomos bermakud Hukum.

[1] Essai sur les Maladies de Disseus. Original translation from Latin in “De Mortis Artificum” by M. De Foureau

[2] http://en.wikipedia.org/wiki/Wojciech_Jastrzębowski