Tandas mesra golongan kurang upaya

Dalam masyarakat terdapat golongan terpencil, iaitu golongan kurang upaya termasuk orang tua dan sakit. Mereka mempunyai kekangan sama ada dari segi fizikal atau mental.

Berbicara soal kehidupan mereka sehari-hari, hak golongan ini perlu diberi perhatian. Antara yang paling utama adalah tandas. Setiap manusia secara biologi perlu melakukan proses perkumuhan bagi mengekalkan aturan (fisiologi) semulajadi tubuh dan kesihatan. Oleh itu, manusia menggunakan tandas bagi tujuan ini. Namun, bagi golongan kurang upaya, ia menjadi cabaran besar kepada mereka. Kekangan fizikal dan mental menyebabkan tandas menjadi suatu tempat yang sangat berbahaya. Kecederaan yang serius boleh berlaku kalau kena dengan gayanya.

Tandas mesra golongan kurang upaya adalah langkah bagi menangani isu ini. Walaubagaimanapun, setiap kelainan upaya individu adalah identikal. Agak mustahil untuk merekabentuk sebuah tandas yang betul-betul menepati kehendak seseorang individu tersebut. Jika di rumah ia munasabah, tetapi jika di tempat awam ia perlu difikir berulang kali.

Maka langkah terbaik adalah merekabentuk tandas golongan kurang upaya sejagat. Yang mana tandas ini boleh digunakan oleh sebilangan besar golongan kurang upaya. Antara yg biasa dan wajib ada seperti palang pautan berketinggian wajar untuk individu bekerusi roda. Palang pautan ketika mandi berdiri, palang pautan untuk bangun daripada duduk di mangkuk tandas, pili yang bersesuaian, lantai yang tidak licin dan berbendul. Bendul menyukarkan golongan bekerusi roda untuk bergerak. Keluasan pintu yang memadai.

Akhirkata, hak-hak golongan kurang upaya perlu diberi perhatian supaya golongan ini tidak tersisih oleh masyarakat sekaligus mengurangkan kemalangan di tandas bagi golongan tersebut.

tandas 2

tandas

Advertisements

Cabaran menangani isu gangguan rangka-otot di premis

Rata-rata pekerja di negara ini kurang kesedaran dan maklumat mengenai tatakerja yang selamat. Kebanyakan kes-kes gangguan rangka-otot tenat yang menyebabkan mereka hilang mata pencarian bukanlah insiden yang berlaku secara segera, tetapi secara kronik. Kadangkala perkara ini dipandang enteng kerana telah menjadi lumrah apabila bekerja tubuh badan merasa sakit. Keadaan sebeginilah yang menyebabkan kecederaan yang lebih teruk apabila telah sampai masanya.

Menjadi tanggungjawab pihak pengurusan untuk memastikan pekerja di bawah mereka dapat bekerja dengan selamat dan sejahtera. Ia selaras dengan keperluan seksyen 15; AKKP 1994 tanggungjawab majikan terhadap isu keselamatan dan kesihatan tempat kerja dan orang yang bekerja.

Namun kenyataannya, keadaan tempat kerja yang berisiko tidak dapat dielak. Kadangkala, tidak munasabah untuk mengaplikasikan tatakerja yang betul-betul menepati konsep kerja ergonomik. Jadi bagaimanakah cara untuk meminimumkan pekerja terdedah kepada risiko-risiko yang dimaksudkan?

Itulah cabaran yang perlu dihadapi oleh majikan sebagai membuktikan iltizam (komitmen) mereka terhadap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Tanggungjawab individu yang dilantik oleh syarikat untuk mentadbir isu keselamatan dan kesihatan tempat kerja untuk bekerjasama dengan pihak pengurusan bagi menangani isu ini. Jika tiada kemahiran dan kepakaran dalam bidang ergonomik, melantik jururunding luar amat dicadangkan. Ia penting supaya langkah kawalan yang diambil tepat.

Konsep pencegahan dan kawalan risiko secara sistematik dapat dilaksanakan dengan sempurna dan tepat mengikut turutan hirarki kawalan risiko:

1) Penghapusan
2) Penggantian
3) Kawalan kejuruteraan
4) Kawalan pentadbiran
5) Kelengkapan pelindung diri

Turutan kawalan risiko amat masyhur di kalangan pengamal keselamatan dan kesihatan tempat kerja. Peranan individu tersebut (pegawai keselamatan dan kesihatan) untuk memperhalusi konsep ini dalam persekitaran premis mereka. Langkah kawalan yang diambil bersesuaian dengan faktor-faktor premis tersebut termasuklah kos. Di sini terletak aplikasi ‘setakat yang praktik’ AKKP 1994. Perbincangan antara pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mencari kaedah terbaik bagi menangani isu ergonomik di premis berdasarkan konsep ‘setakat yang praktik’.

Sisipan gambar: Iltizam majikan untuk mengadakan kursus kesedaran ergonomik

kesedaran ergonomik'

Kesan Tekanan Perasaan kepada Tubuh

Persatuan Perubatan Amerika menyatakan bahawa tekanan perasaan adalah punca asas lebih 60% penyakit yang menyerang manusia.

Tidak hairan, tekanan perasaan juga boleh mendatangkan kesan kepada rangka-otot manusia. Kajian menunjukkan bahawa tekanan mental mendorong peningkatan yang ketara ketegangan otot khususnya otot trapezius. Banyak penjelasan telah dicadangkan untuk memahami mekanisme yang menghubungkan ketegangan otot yang berterusan kepada gangguan rangka-otot (Lundberg, 2003).

Rujukan:

Lunberg, U. 2003. Psychological stress and musculoskeletal disorders: psychobiological mechanisms. Lack of rest and recovery greater problem than workload. Lakartidningen 100(21):1892-5.

Pengambilan Pelajar Baharu Ijazah Sarjana Muda (Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan)

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Fakulti Bioperubatan dan Sains Kesihatan menawarkan kursus sepenuh masa ijazah sarjana muda keselamatan dan kesihatan pekerjaan (kepujian). Jesteru, pengambilan pelajar baharu untuk sesi Januari 2015 telah dibuka. Kepada yang berminat boleh memohon melalui permohonan atas talian (online) di laman sesawang Unisel: http://apply.unisel.edu.my.

Perincian lanjut mengenai kursus ini boleh dirujuk ke: http://biomed.unisel.edu.my/courses/osh/ atau menelefon kepada 03-5522 3421. Atau boleh datang terus ke fakulti Bioperubatan dan sains kesihatan di Shah Alam untuk mendapat penerangan dengan lebih terperinci.

Kursus ini bermatlamat untuk melahirkan graduan yang mahir serta berilmu dalam bidang keselamatan dan kesihatan (OSH) pekerjaan khususnya di sektor industri. Para graduan didedahkan dengan cabang-cabang ilmu OSH yang terkini serta lebih praktikal dan mesra industri. Prospek kerjaya seperti Pegawai Keselamatan dan Kesihatan, Eksekutif Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran, Pengurus Keselamatan dan Kesihatan, Juruteknik Higen industri dll.

Mengikut statistik, graduan program ini telah mendapat pekerjaan dalam masa 6 bulan selepas tamat pengajian. Antaranya telah menceburi Petronas, Sime Darby, SYABAS, dll.

Iklan

Segitiga dapur

Juga dikenali sebagai segitiga kerja dapur (kitchen work triangles) adalah konsep yang menerangkan keberkesanan dan kecekapan kerja asasi di dapur melibatkan tempat simpanan barang masakan (peti ais), sinki dan tempat memasak. Ia boleh dibayangkan dengan melukis garisan menyambungkan tiga tempat tersebut dalam bentuk segitiga.

Segitiga ini diilhamkan oleh ahli hiasan dalaman pada tahun 1940an bertujuan untuk kemudahan gerak sepanjang melakukan kerja. Rutin kerja dapur dimulai dengan mengeluarkan bahan mentah daripada peti ais, kemudian dibawa ke sinki untuk dipotong/dibersihkan sebelum dibawa untuk dimasak.

Sehingga kini, segitiga dapur menjadi asas kepada perekabentuk/juruhias dalaman dan arkitek bagi merekabentuk dapur rumah. Rukun (rule) segitiga dapur yang dipersetujui ramai sedikit sebanyak adalah seperti berikut:

1) Jarak garis segitiga antara satu sama lain tidak kurang daripada empat kaki dan tidak lebih sembilan kaki.

2) Selain itu sepanjang garis segitiga tidak boleh ada halangan yang menyukarkan pergerakan.

3) Laluan utama ke dapur hendaklah tidak melintasi atau menghalang garis segitiga ini.

Walaubagaimanapun, ia bertitik tolak kepada kemudahan dan keselesaan pengguna dapur tersebut. Jarak segitiga juga bergantung kepada individu; ada yang selesa dengan ruang yang kecil, ada pula amat menyenangi ruang yang luas.

Segitiga dapur

Hubungan manusia-jentera (HMJ)

Hubungan manusia-jentera (HMJ) merupakan gagasan ergonomik dan kejuruteraan faktor manusia yang berperanan memastikan rekabentuk jentera dan manusia berada dalam keadaan serasi dan selamat. Boff (2006) menegaskan bahawa matlamat keseluruhan HMJ adalah mengoptimumkan kecekapan manusia, kesejahteraan & keselamatan dan mutu kerja yang secara tidak langsung mengurangkan risiko kemalangan. Beliau mengelaskan perkembangan ergonomik dan faktor manusia kepada empat generasi utama iaitu:

Generasi Pertama: Peringkat awal pendedahan ilmu ergonomik dalam industri ketenteraan khususnya (Perang Dunia Kedua). Ketika itu, di Eropah dan Amerika Syarikat perang dunia pertama dan kedua (antara tahun 1918 hingga 1945) sedang hebat berlaku. Pihak-pihak yang terlibat gigih melaksanakan pelbagai kajian untuk mengembangkan teknologi ketenteraan mereka. Perang dunia pertama menyaksikan askar dikerah berperang tanpa mengambilkira keberkesanan kendalian senjata. Namun, pihak tentera mengakui peri pentingnya keserasian senjata dengan askar bagi memastikan keberkesanan serangan dan pertahanan. Perang dunia kedua menyaksikan ilmu ergonomik dan faktor manusia pesat membangun. Badan penyelidikan seperti Medical Research Council (lihat Boff, 2006) melakukan penyelidikan berkenaan keupayaan pasukan artileri mengendalikan senjata berat.

Generasi Kedua: Mula memberi perhatian terhadap keupayaan kognitif. Industri mula menggunapakai teknologi perkomputeran dan pengautomatan.

Generasi Ketiga: Penyelidikan berkaitan keupayaan fizikal dan kognitif bertambah maju dengan kehadiran pelbagai teknologi termaju. Contoh: peranti penderiaan bio-elektrik kawalan impuls saraf (neuro-muscular) yang ditanam (implanted) atau dipasang di anggota badan menghasilkan pekerja yang mampu serasi dengan teknologi sedia ada.

Generasi Keempat: Mula menerobos bidang genetik dan sel. Mengubah struktur DNA dengan mengubah kod lemah kepada kod kuat. Atau mengubah keupayaan fizikal dan/atau kognitif manusia untuk memaksimumkan keberkesanan kerja.

Namun, teknologi generasi ketiga dan keempat masih belum diterimapakai sepenuhnya oleh masyarakat dunia umumnya. Ini berkaitan dengan etika dalam penyelidikan dan pembangunan yang melibatkan manusia. Sebarang aspek penyelidikan atau penerokaan berkaitan dengan manipulasi manusia dianggap mencabul hak keperibadian individu. Teknologi tersebut juga amat mahal, terutamanya bagi negara-negara membangun seperti Malaysia yang amat mustahil konsep ini diketengahkan.

Rujukan

Boff, K. R. (2006). Revolutions and shifting paradigms in human factors & ergonomics. Applied Ergonomics 37:391–399.

HMJ

Aspek saikososial

Dalam merekabentuk ruang dan stesen kerja, lima perkara ini perlu dititikberatkan iaitu:

1) Ukuran badan
2) Postur badan
3) Pergerakan badan
4) Kekuatan otot
5) Daya tindakbalas kognitif

Namun, asas rekabentuk terkini mula menitikberatkan aspek saikososial seperti keperibadian (privasi), perhubungan (komunikasi) dan keceriaan pekerja. Mereka percaya, prestasi syarikat boleh meningkat sekiranya kepuasan dan keceriaan pekerja diberi perhatian. Ini terbukti berdasarkan beberapa kajian yang telah dilakukan.

Syarikat-syarikat terkemuka yang mempunyai dana besar seperti Google menyediakan persekitaran kerja yang selesa dan mengambilkira faktor saikososial. Tempat rehat, bilik persalinan, bilik permainan dan tandas adalah antara aspek kebajikan pekerja yang disediakan oleh Google.

Mungkin kaedah ini tidak sesuai untuk stesen kerja pengeluaran dan pembuatan, namun aspek saikososial masih boleh diamalkan seperti menyediakan tempat rehat yang mencukupi, selesa dan gimnasium kecil tanpa mengenepikan aspek asas rekabentuk ruang dan stesen kerja seperti ulasan di atas.

google

Kejuruteraan industri dan ergonomik (kaitannya?)

Kejuruteraan industri adalah bidang membincangkan aspek pengenalpastian, analisis dan rekabentuk sistem melalui pendekatan bersepadu. Mengambilkira faktor kecekapan dan peningkatan pengeluaran sebagai matlamat keseluruhannya. Terkandung adalah sub-bidang menekankan aspek kemanusiaan dalam proses.

Faktor diambilkira dalam rekabentuk stesenkerja dicadangkan oleh Stephan (2003):

  • Kelegaan (clearance)
  • Jangkauan – ruang kerja (Reach – the workspace envelope)
  • Zon mudah dijangkau (Zones of convenient reach)
  • Kawasan kerja biasa (The normal working area)
  • Ketinggian kerja (Working height)
  • Julat sendi (Joint ranges)
  • Postur bekerja (Working postures)
  • Penglihatan dan postur kepala dan tengkuk (Vision and the posture of the head and neck)

Jika dilihat faktor 1) hingga 5), ukurbadan (antropometri) memainkan peranan penting. Tanpa maklumat ukurbadan yang mencukupi, faktor-faktor tersebut tidak dapat diterjemahkan dalam rekabentuk stesenkerja.

Rujukan

Stephen Pheasant. 2003. Body Space: Anthropometry, Ergonomics and the Design of Work. London. Second Edition. Taylor & Francis Ltd.

Kesedaran Pekerja Terhadap Tatakerja Selamat

Tinjauan ketidakselesaan secara kasar menunjukkan kebanyakan pekerja sering mengalami gejala ketidakselesaan dan sakit anggota badan. Kelaziman tertinggi tertumpu di bahagian belakang badan, tengkuk dan bahu. Apabila dijelaskan tentang ergonomik, rata-rata daripada mereka tidak mengetahui. Jika ditanya, bagaimana cara menghilangkan rasa ‘sakit-sakit’, urutan adalah kaedah yang selalu diamalkan.

Maklumbalas pekerja terhadap keperluan program keselamatan dan keperihatinan untuk mengetahui carakerja betul adalah cukup baik. Mereka berpendapat bentuk latihan yang bersesuaian boleh mengurangkan risiko.

Program yang tersusun bukan sahaja dapat mengurangkan risiko gangguan rangka-otot, malah dapat mengelak kemalangan yang tidak diingini daripada berlaku. Secara tidak langsung, meningkatkan motivasi pekerja untuk bekerja. Seterusnya membuahkan keuntungan kepada syarikat.

Jesteru, Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan memain peranan penting dalam memastikan program ini berjaya. Menurut Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan) 1996, bahagian III, peraturan 18 (1), Jawatankuasa keselamatan dan kesihatan hendaklah membantu majikan dalam apa-apa program berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan.

Program boleh meliputi ceramah keselamatan dan kesihatan, pertandingan, dialog, khidmat nasihat dan apa-apa program lain dengan objektif menggalakkan pekerja bekerja dengan selamat.

Pembudayaan kerja selamat memerlukan kaedah promosi dan komunikasi yang berkesan. Oleh yang demikian program-program yang bersesuaian dan komprehensif perlu dirangka  untuk mengurangkan risiko gangguan rangka-otot. Secara asasnya terdapat tiga kaedah yang boleh dijelaskan iaitu kaedah komunikasi verbal, komunikasi non-verbal dan contoh tingkahlaku.

Pihak pengurusan perlu bijak dalam menggunakan ketiga-tiga kaedah komunikasi ini. Gabungan kaedah-kaedah seperti dijelaskan adakalanya amat perlu dengan suasana dan keadaan sekeliling pekerja terdiri daripada pelbagai latarbelakang seperti tahap pendidikan, budaya, bangsa, bahasa dan sebagainya.

ceramah

Rekabentuk untuk Pemasangan Manusia (Design for Human Assembly, DHA)

Industri pembuatan di Malaysia mula berkembang sejak tahun 1980an iaitu semasa era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Industri ini telah mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan apabila negara menyaksikan peralihan daripada ekonomi yang kebanyakannya pertanian kepada yang berasaskan industri. Sehubungan dengan itu, sumber tenaga manusia diperlukan untuk memastikan perolehan negara terus ditampung.

Apabila bercakap tentang manusia, soal keberkesanan, keselesaan dan keteraturan adalah faktor yang perlu diberi perhatian. Memproses maklumat dan membuat keputusan adalah ciri asas kognitif manusia apabila bekerja. Karwowski dan Marras (2003) menetapkan tiga peringkat dalam pemprosesan maklumat dan pelaksanaan kerja iaitu 1) Tanggapan (Perception), 2) Membuat keputusan (decision making), dan 3) Pengolahan (manipulation). Keberkesanan ketiga-tiga peringkat ini boleh ditingkatkan dengan perancangan proses dan rekabentuk stesenkerja yang sesuai. Oleh yang demikian, untuk memastikan peringkat tersebut berlaku dengan lancar, keadaan barang/produk dan stesenkerja perlu serasi dengan pekerja. Berikut dibincangkan secara ringkas tiga peringkat tersebut:

Tanggapan adalah peringkat kognitif paling pantas, ia berlaku tanpa melibatkan pemprosesan mental yang tinggi. Pekerja melakukan sesuatu perilaku tanpa perlu berfikir panjang dan selalunya secara spontan. Keberkesanan peringkat ini diperbaiki dengan memastikan faktor barang/produk dan stesenkerja jelas untuk dilihat mata dan dapat dirasai deria sentuhan.

Membuat keputusan adalah peringkat yang memerlukan proses mental yang lebih berbanding tanggapan. Keberkesanan peringkat membuat keputusan diperbaiki dengan mengurangkan kepelbagaian kawalan dan suiz, pengelompokan barang/produk berkaitan setempat, susunan mengikut keutamaan dan susunan mengikut kekerapan penggunaan.

Pengolahan merupakan peringkat yang tertumpu kepada pengendalian anggota badan. Oleh yang demikian keberkesanan peringkat ini diperbaiki dengan mengambilkira faktor seperti kemudahan dan keselesaan mengendali barang/produk dan stesenkerja.

Pengurangan masa untuk tanggapan, membuat keputusan dan pengolahan dikatakan sebagai keberkesanan masa (time effectiveness) yang secara tidak langsung memberi kesan positif kepada pengeluaran dan kos. Selain dari itu, Helander (2006) telah membincangkan DHA dengan lebih terperinci. Beliau mencadangkan tujuh rukun asas faktor manusia dalam DHA iaitu:

1) rekabentuk untuk kemudahan olahan
2) rekabentuk untuk sentuhan dan pendengaran
3) rekabentuk untuk penglihatan dan visual
4) rekabentuk untuk kesesuaian ruang
5) rekabentuk untuk memperbaiki formasi model mental
6) rekabentuk untuk pemindahan latihan
7) rekabentuk untuk kepuasan kerja.

Sebagai kesimpulan, pendekatan DHA dikatakan sebagai pemangkin keselesaan dan keberkesanan pekerja yang secara tidak langsung memberi kesan yang baik kepada mutu dan kadar pengeluaran. Jesteru itu, kunci utama DHA adalah meneliti/analisis proses pembuatan yang wajib merangkumi faktor manusia sebagai sub-sistemnya. Ia sejajar dengan gagasan faktor manusia dan ergonomik yang meletakkan manusia adalah sebahagian dari sistem kerja.

Rujukan

Karwowski K. & Marras W.S. 2003. Occupational Ergonomics: Design and Management of Work Systems. Florida. UK. CRC Press LLC.

Helander M. 2006. A Guide To Human Factors And Ergonomics. NY. 2nd Edition. US. Taylor & Francis.

DHA