Sakit belakang: nampak remeh tapi signifikan

Perkongsian ringkas mengenai sakit belakang. Sakit belakang merupakan penyakit rangka-otot yang paling lazim berlaku di kalangan pekerja khususnya yang berumur 45 tahun ke bawah; dengan kata lain golongan belia yang masih aktif bekerja. Perkongsian slid taklimat ringkas yang boleh dimanfaatkan bersama-sama pekerja ketika sesi mesyuarat keselamatan dan kesihatan pekerjaan atau sesi ‘toolbox talk‘. Klik pautan di bawah untuk muat turun:

Sakit belakang: nampak remeh tapi signifikan

Penilaian hasil penyelidikan

penilaian

Selaku penilai pembentangan hasil penyelidikan pelajar Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kepujian). Kajian-kajian yang dihasilkan oleh pelajar dilakukan di sektor industri; oleh yang demikian dapatan kajian  mereka sedikit sebanyak berguna untuk mengetahui pola dan perkembangan terkini isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia.

Penaksiran risiko ergonomik

OSHA1994

Penaksiran ergonomik industri mahu tidak mahu perlu merujuk kepada keperluan undang-undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) adalah akta yang menjadi rujukan untuk sebarang isu keselamatan dan kesihatan tempat kerja. Dalam konteks ergonomik dan faktor manusia, seksyen 15, 17 & 20 sering menjadi rujukan utama. Walaubagaimanapun, akta ini merupakan perundangan berkonsepkan pengaturan kendiri dan umum. Jadi, peruntukan dan arahan yang dinyatakan bersifat abstrak dan tidak spesifik. Selalunya akta ini disokong dengan perundangan yang lebih spesifik seperti Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139). Akta ini mempunyai pendekatan lebih tertumpu dan boleh menjadi justifikasi kuat bersama peruntukan undang-undang dan piawaian sedia ada. Antara piawaian yang boleh menjadi rujukan; Piawaian SIRIM (Piawaian Malaysia), piawaian British, Australia dan lain-lain. Sebagai contoh piawaian MS ISO 9241-910:2012 menjurus terhadap faktor interaksi manusia-sistem dalam ergonomik.

Boleh muat turun pindaan akta kilang dan jentera di sini: Akta Kilang dan Jentera 1967

DAN muat turun akta keselamatan dan kesihatan di sini: Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994

Penaksiran Risiko Ergonomik

Pada 14 dan 15 Februari 2017 yang lalu, sesi penaksiran risiko ergonomik dilaksanakan di lynas Malaysia Sdn Bhd bertempat di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan. Program ini bermatlamat untuk mengenalpasti faktor risiko yang berpotensi menyebabkan gangguan rangka-otot pekerjaan dalam skop pekerjaan kendalian manual di beberapa sektor dan proses rutin dan kritikal premis. Penilaian risiko diketuai oleh Prof. Shukor dibantu oleh saya dan rakan.

Lynas Malaysia Sdn. Bhd. merupakan sebuah loji pemprosesan bahan nadir bumi yang terkandung dalam tanah. Produk akhir yang dihasilkan digunapakai dalam industri elektrik dan elektronik yang amat penting dalam teknologi termaju masakini.

Program meliputi empat peringkat iaitu, taklimat tugas merangkumi skop penilaian, lokasi dan individu pekerja yang terlibat. Kemudian disusuli dengan penilaian lapangan merangkumi analisis tugas, pemerhatian dan rekod aktiviti pekerjaan yang berisiko. Sesi temubual bersama pekerja dilaksana bagi  memastikan maklumat-maklumat penting diperolehi terus daripada mereka. Respons mereka penting untuk menguatkan dapatan pemerhatian dan analisis tugas. Alhamdulillah para pekerja memberi kerjasama yang amat baik.

Program penaksiran ergonomik merupakan salah satu langkah proaktif untuk mengurangkan risiko pekerjaan di industri khususnya melibatkan isu kesihatan pekerjaan. Pihak premis yang telah melaksanakan program penaksiran ergonomik dapat menjimatkan kos rawatan dan kecederaan pekerjaan mencapai 70% selepas intervensi ergonomik dilakukan. Pendek kata, program sebegini  memberi serampang dua mata kepada pihak syarikat dalam meningkatkan produktiviti sekaligus reputasi cemerlang tercapai.

lynas

Kesedaran situasi ketika memandu

Pada 24 Disember 2016 yang lalu kita dikejutkan dengan berita kemalangan maut sebuah bas yang mengorbankan 14 nyawa dan mencederakan 16 orang. Salam takziah diucapkan kepada semua waris mangsa. Pelbagai spekulasi dilontar mengenai sebab kemalangan berlaku. Rata-rata mengatakan pemanduan laju adalah puncanya. Ada juga pendapat mengatakan pemandu bekerja lebih masa dan tiada ruang untuk berehat. Siasatan masih berjalan dan tidak molek kiranya kita berspekulasi, lebih-lebih lagi melibatkan mangsa. Ini boleh mengguris perasaan mangsa-mangsa yang terlibat khususnya keluarga arwah pemandu.

Walaubagaimanapun, saya tertarik untuk mengupas mengenai pendapat yang mengaitkan situasi pemandu bekerja lebih masa dan tiada masa untuk berehat. Kupasan meliputi aspek daya tumpuan individu.

Kesedaran situasi (situational awareness) adalah keadaan di mana keupayaan untuk mengenal pasti, memproses, dan memahami elemen-elemen kritikal maklumat tentang apa yang berlaku. Mudahkata, mengetahui apa yang sedang berlaku di sekeliling.

Kesedaran situasi ketika pemanduan; banyak faktor kita boleh dikaitkan. Gangguan seperti menaip mesej, bercakap dengan telefon bimbit, makan dan minum dll. Gangguan seperti yang disebutkan adalah gangguan fizikal. Namun satu perkara yang sering terlepas pandang adalah kesedaran situasi juga tertumpu kepada kelesuan mental (mental fatigue).

Keadaan ini berbahaya terutama ketika memandu. Secara fisiologi apabila otak dalam keadaan lesu, ia memberi kesan kepada prestasi mental. Banyak kajian mendapati otak yang penat tidak dapat berfungsi dengan baik. Individu sedang kelesuan mental terganggu keupayaan berfikir (daya tumpuan) serta tindakbalas motor menjadi lembab. Kelesuan mental memperlahankan tindakbalas dari 200 milisaat ke 750 milisaat [1] [2]. Dari sudut keselamatan, sekelip mata kesilapan boleh menyebabkan malapetaka yang besar khususnya dalam operasi kritikal selamat (critical safety). Kritikal selamat tidak ditakrifkan secara konkrit dalam mana-mana perundangan. Tetapi, dalam konteks kupasan ini, kritikal selamat boleh dijelaskan sebagai sebarang aktiviti yang, jika berlaku boleh mendatangkan risiko terhadap orang lain seperti kecederaan dan maut.

Ringkasnya, kesedaran situasi tidak semata-mata berkait rapat dengan gangguan fizikal. Tetapi aspek mental perlu diberi perhatian. Dalam konteks perbincangan, keadaan ini berkait rapat antara gejala kelesuan mental dengan kesedaran situasi. Mental lesu menyebabkan fisiologi mental dan motor terganggu yang meningkatkan kebarangkalian kesilapan individu seterusnya menyebabkan kemalangan.

APA YANG BOLEH KITA LAKUKAN UNTUK MENDEPANI ISU INI?

PERTAMA, jadual perjalanan dan syif yang tersusun. Merangkumi aspek pemandu. Seorang pemandu tidak boleh memandu secara berterusan untuk dua trip berturut-turut untuk perjalanan jarak jauh.

KEDUA, perketatkan undang-undang dua orang pemandu untuk satu-satu trip.

KETIGA, perketatkan undang-undang pemanduan tidak melebihi had kelajuan. Pemasangan kotak hitam dilaksana secara menyeluruh (Seperti kenyataan Menteri pengangkutan pada tahun 1998).

Cadangan-cadangan di atas merupakan lontaran idea secara umum. Penelitian yang jitu perlu mengambil kira banyak faktor oleh pihak-pihak yang berkenaan.

#situationalawareness #humanfactors #kesedaransituasi #faktormanusia #kelesuan #fatigue

Rujukan

[1] Caldwell JA, Caldwell JL, Brown DL, Smith JK. The effects of 37 hours of continuous wakefulness on the physiological arousal, cognitive performance, self-reported mood, and simulator flight performance of F-117A pilots. Mil Psychol 2004;16:163-181.

[2] Jones DG, Endsley MR. Use of real-time probes for measuring situation awareness. Int J Aviat Psychol 2004;14:343-367.

petikan-skrin-2016-12-27-pada-09-34-10