WMTA rangkul pingat perak

gambar IRIS2017

Pingat perak untuk produk yang dipamerkan pada Intellectual research & innovation showcase 2017. Produk merangkumi proses penaksiran risiko gangguan rangka-otot pekerjaan. Kegunaan dalam bidang ergonomik dan faktor manusia.

Advertisements

Teori keseimbangan kerja (Modul III – Ulangkaji)

Teori keseimbangan

Ergonomik memberi tumpuan terhadap sekurang-kurangnya terhadap lima faktor untuk keserasian manusia dengan pekerjaan. Ia merangkumi faktor manusia, kerja, teknologi, persekitaran dan organisasi.

Faktor manusia: ciri-ciri manusia merangkumi aspek anatomi, fisiologi, kinesiologi, biomekanik, psikologi dan kognitif

Faktor kerja: ciri-ciri pekerjaan merangkumi proses, tatacara, protokol dan prosedur

Faktor teknologi: ciri-ciri teknologi digunapakai untuk sesuatu pekerjaan.

Faktor persekitaran: Persekitaran mikro iaitu persekitaran tempat bekerja cthnya ruangkerja, susun atur, pencahayaan dll. Persekitaran makro iaitu alam semulajadi.

Faktor organisasi: Pengurusan organisasi meliputi arahan pihak atasan, urustadbir, hubungan majikan dan pekerja, tingkahlaku pekerja, motivasi kerja, tekanan kerja, psikososial dan psikologi organisasi.

Faktor risiko gangguan rangka-otot

Faktor risiko gangguan rangka-otot utama:

  • Postur janggal
  • Pergerakan berulang-ulang
  • Kerahan tenaga tinggi

Postur janggal

Situasi bekerja memerlukan postur dan pergerakan aktif berupaya menyebabkan gangguan rangka-otot khususnya bahagian pinggang, bahu, lengan dan kaki. Kenapa empat anggota badan tersebut? kerana bahagian tersebut merupakan anggota badan yang paling dominan ketika aktiviti kendalian manual. Postur janggal termasuklah membongkok, memulas pinggang, tangan diangkat melepasi paras bahu dan posisi pergelangan tangan tidak neutral.

Pergerakan berulang-ulang

Pergerakan berulang-ulang menyebabkan kelesuan serat otot (muscles fiber). Kelesuan tersebut boleh menyebabkan kecederaan sama ada secara langsung melalui kerosakan otot atau secara tidak langsung melalui ketidakseimbangan otot ketika bekerja ketika pergerakan kerap. Biasanya faktor pergerakan berulang-ulang berkait rapat dengan postur janggal; cthnya, memulas pinggang. Aktiviti melibatkan pergerakan berulang-ulang walaupun ringan menyebabkan kelesuan otot terkumpul setempat (accumulated local muscle fatigue). Oleh itu, menganggarkan kelesuan otot terkumpul akibat beban kerja berulang adalah perkara yang perlu diberi perhatian untuk mencegah pekerja mengalami kecederaan rangka-otot.

Kerahan tenaga tinggi

Kerahan tenaga tinggi digambarkan sebagai magnitud kekuatan dibandingkan dengan keupayaan maksimum bahagian badan tertentu mengerah tenaga. Contohnya untuk menolak objek 80 kg memerlukan kerahan tenaga sebanding dengannya. Beban 80 kg adalah beban luaran (external load) manakala kerahan tenaga yang hendak menolak beban tersebut adalah beban dalaman (internal load). Corak pergerakan tidak selamat menyebabkan beban dalaman yang tinggi pada bahagian otot dan sendi tertentu berupaya menyebabkan kecederaan misalnya tekanan pada struktur tulang belakang. Aktiviti mengangkat, menolak dan menarik beban memberi tekanan mekanikal kepada bahu dan belakang khususnya.

Sakit belakang: nampak remeh tapi signifikan

Perkongsian ringkas mengenai sakit belakang. Sakit belakang merupakan penyakit rangka-otot yang paling lazim berlaku di kalangan pekerja khususnya yang berumur 45 tahun ke bawah; dengan kata lain golongan belia yang masih aktif bekerja. Perkongsian slid taklimat ringkas yang boleh dimanfaatkan bersama-sama pekerja ketika sesi mesyuarat keselamatan dan kesihatan pekerjaan atau sesi ‘toolbox talk‘. Klik pautan di bawah untuk muat turun:

Sakit belakang: nampak remeh tapi signifikan

Penaksiran risiko ergonomik

OSHA1994

Penaksiran ergonomik industri mahu tidak mahu perlu merujuk kepada keperluan undang-undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) adalah akta yang menjadi rujukan untuk sebarang isu keselamatan dan kesihatan tempat kerja. Dalam konteks ergonomik dan faktor manusia, seksyen 15, 17 & 20 sering menjadi rujukan utama. Walaubagaimanapun, akta ini merupakan perundangan berkonsepkan pengaturan kendiri dan umum. Jadi, peruntukan dan arahan yang dinyatakan bersifat abstrak dan tidak spesifik. Selalunya akta ini disokong dengan perundangan yang lebih spesifik seperti Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139). Akta ini mempunyai pendekatan lebih tertumpu dan boleh menjadi justifikasi kuat bersama peruntukan undang-undang dan piawaian sedia ada. Antara piawaian yang boleh menjadi rujukan; Piawaian SIRIM (Piawaian Malaysia), piawaian British, Australia dan lain-lain. Sebagai contoh piawaian MS ISO 9241-910:2012 menjurus terhadap faktor interaksi manusia-sistem dalam ergonomik.

Boleh muat turun pindaan akta kilang dan jentera di sini: Akta Kilang dan Jentera 1967

DAN muat turun akta keselamatan dan kesihatan di sini: Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994

Penaksiran Risiko Ergonomik

Pada 14 dan 15 Februari 2017 yang lalu, sesi penaksiran risiko ergonomik dilaksanakan di lynas Malaysia Sdn Bhd bertempat di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan. Program ini bermatlamat untuk mengenalpasti faktor risiko yang berpotensi menyebabkan gangguan rangka-otot pekerjaan dalam skop pekerjaan kendalian manual di beberapa sektor dan proses rutin dan kritikal premis. Penilaian risiko diketuai oleh Prof. Shukor dibantu oleh saya dan rakan.

Lynas Malaysia Sdn. Bhd. merupakan sebuah loji pemprosesan bahan nadir bumi yang terkandung dalam tanah. Produk akhir yang dihasilkan digunapakai dalam industri elektrik dan elektronik yang amat penting dalam teknologi termaju masakini.

Program meliputi empat peringkat iaitu, taklimat tugas merangkumi skop penilaian, lokasi dan individu pekerja yang terlibat. Kemudian disusuli dengan penilaian lapangan merangkumi analisis tugas, pemerhatian dan rekod aktiviti pekerjaan yang berisiko. Sesi temubual bersama pekerja dilaksana bagi  memastikan maklumat-maklumat penting diperolehi terus daripada mereka. Respons mereka penting untuk menguatkan dapatan pemerhatian dan analisis tugas. Alhamdulillah para pekerja memberi kerjasama yang amat baik.

Program penaksiran ergonomik merupakan salah satu langkah proaktif untuk mengurangkan risiko pekerjaan di industri khususnya melibatkan isu kesihatan pekerjaan. Pihak premis yang telah melaksanakan program penaksiran ergonomik dapat menjimatkan kos rawatan dan kecederaan pekerjaan mencapai 70% selepas intervensi ergonomik dilakukan. Pendek kata, program sebegini  memberi serampang dua mata kepada pihak syarikat dalam meningkatkan produktiviti sekaligus reputasi cemerlang tercapai.

lynas

SINDROM PIRIFORMIS

Sindrom piriformis adalah keadaan yang mana otot piriformis merengsa saraf pinggul (sciatic nerve) menyebabkan sakit, kebas dan sakit mencucuk-cucuk sepanjang belakang pinggul hingga ke kaki. Keadaan ini berlaku apabila otot piriformis menghimpit saraf pinggul. Gejala gangguan saraf ini boleh berlaku akibat:

Dompet atau objek yang disimpan pada poket belakang seluar.

Posisi duduk yang tidak seimbang (menyenget) dan,

Duduk masa yang lama.

Ahli sukan berlari jarak jauh atau kerap berjalan menaiki-menuruni curam.

Ibu-ibu hamil: tulang pelvis melebar menyebab otot sekitarnya bersentuh dengan saraf pinggul.

Ibu-ibu hamil juga mengalami kecondongan pelvik untuk menampung berat bayi, yang menyebabkan otot-otot sekitar menyempit.

piriformis syndrome

Pesakit merasai sakit atau tidak selesa apabila hendak duduk, menaiki-menuruni tangga atau bertinggung. Kadangkala, sindrom piriformis sering disalah anggap sebagai sindrom cakera gelincir (herniated disc / slipped disc).

Cara merawat dan mencegah

  • RAWAT – Urutan bola tenis. Bola tenis yang diletakkan di sisi pinggul dan golekkan otot pinggul ke atas bola tersebut.
  • RAWAT – Urutan otot dasar (deep muscle massage) yang dilakukan oleh fisioterapis.
  • CEGAH – elakkan daripada duduk terlampau lama, pastikan postur duduk seimbang.
  • CEGAH – elakkan aktiviti berlari menaiki dan menuruni curam ketika sindrom ini berlaku.

Kesan Tekanan Perasaan kepada Tubuh

Persatuan Perubatan Amerika menyatakan bahawa tekanan perasaan adalah punca asas lebih 60% penyakit yang menyerang manusia.

Tidak hairan, tekanan perasaan juga boleh mendatangkan kesan kepada rangka-otot manusia. Kajian menunjukkan bahawa tekanan mental mendorong peningkatan yang ketara ketegangan otot khususnya otot trapezius. Banyak penjelasan telah dicadangkan untuk memahami mekanisme yang menghubungkan ketegangan otot yang berterusan kepada gangguan rangka-otot (Lundberg, 2003).

Rujukan:

Lunberg, U. 2003. Psychological stress and musculoskeletal disorders: psychobiological mechanisms. Lack of rest and recovery greater problem than workload. Lakartidningen 100(21):1892-5.