ERGONOMIK FORENSIK – INSIDEN ESKALATOR

Oleh: Zubairy Ergonomist

Forensic-Escalator-Header

Mutakhir ini, kita mendengar insiden kemalangan melibatkan tangga bergerak (eskalator) yang melibat kecederaan dan maut. Insiden tersebut berlaku akibat hazad tersangkut dan terperangkap pada bahagian jentera yang bergerak.

Eskalator adalah jentera bergerak yang berfungsi untuk mengangkut beban (dalam konteks ini manusia) dari satu tempat ke tempat lain dengan mudah. Mekanisma angkutan ini melibatkan motor, talisawat, sporket dan sebagainya melalui pergerakan mekanikal.

Di bawah undang-undang Malaysia, eskalator tertakluk dalam Akta Kilang dan Jentera 1967, Peraturan-peraturan (Lif Elektrik penumpang dan Barang) Kilang dan Jentera 1970 yang memerlukan sijil perakuan kelayakan dan permit untuk beroperasi. Jesteru ia tertakluk kepada keperluan penyelenggaraan dari masa ke semasa.

Berbalik kepada beberapa insiden yang berlaku, ergonomik forensik memain peranan dalam menyiasat apa yang berlaku dan puncanya serta mencadangkan langkah-langkah kawalan terbaik berkaitan interaksi manusia dengan mesin. Untuk mencapai maksud tersebut, memahami anatomi dan mekanisma eskalator adalah perlu.

Secara umum, kemalangan yang terjadi akibat hazad tersangkut pada bahagian jentera yang bergerak. Titik tersangkut ini dikenali sebagai ‘TITIK CUBITAN’ atau ‘NIP POINT’ atau ‘PINCH POINT’ yang mana sentuhan langsung (direct contact) dengan titik cubitan akan menarik objek atau anggota badan yang bersentuh. Insiden yang boleh menyebabkan kecederaan parah dan maut. Terdapat beberapa titik cubitan eskalator (rujuk gambarajah yang dilampirkan) iaitu di kawasan ‘skirt’. ‘handrail’ dan ‘eskalator step’. Tempat-tempat ini mempunyai ‘gap’ yang boleh menyebabkan objek atau anggota badan terperangkap.

Ukuran gap diambilkira (faktor antropometrik dimensi maksimum) dan sistem pengadang & interlock yang bersesuaian seperti ‘handrail newel entry guard’ dan ‘skirt obstruction device’. Geseran relatif antara objek dan ‘skirt’ diambilkira bertujuan untuk mengira nilai geseran yang boleh menyebabkan objek tersangkut. Insiden terbaharu menunjukkan kasut berjenis flip-flops misalnya mudah tersangkut akibat nilai geseran relatif yang tertentu berbanding kasut yang medium buatannya lebih keras dan kurang faktor geseran relatif terhadap ‘skirt’ yang menyebabkan tersangkut di titik cubitan. Manakala kasut bertapak lembut (soft-soled shoes) pula mudah tertarik di titk cubitan eskalator.

Dalam hirarki kawalan risiko, faktor manusia adalah paling sukar dilakukan kerana melibatkan pelbagai ragam manusia dan ciri. Jesteru, kawalan langsung kepada manusia/pengguna kurang berkesan, namun peringatan keselamatan juga perlu dilakukan. Peringatan dan panduan kepada pengguna cara menggunakan eskalator dengan selamat perlu bercirikan mesra pengguna. Papan tanda atau ‘DO’s & DON’Ts’ tidak terlampau teknikal dan banyak perkataan, lebihkan simbolik gambar serta ringkas. Peringatan dan papan tanda juga perlu mudah dilihat oleh pengguna.

Kesimpulannya, eskalator merupakan jentera mekanikal yang paling rapat dengan pengguna/orang awam. Sebarang kegagalan kepada sistem eskalator mengundang bencana yang tidak diingini. Jesteru, rekabentuk dan penyelenggaraan adalah elemen penting yang perlu diberi perhatian sejajar dengan keperluan perundangan di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai spesifikasi, piawaian dan ciri-ciri keselamatan yang ada, sahabat-sahabat boleh merujuk perundangan dan piawaian seperti:

1) Akta Kilang dan Jentera, 1967 – JKKP

2) Garis Panduan Keselamatan Bagi Penggunaan Lif dan Eskalator, 2010 – JKKP

3) MS1918: 2006 Safety rules construction and installation of escalators and passenger conveyors

4) BS EN 115-1: 2008 Safety of escalators and moving walks. Construction and installation

5) Senarai semak pemeriksaan pertama eskalator – JKKP

6) Senarai semak pemeriksaan ulangan eskalator – JKKP

7) ASME A17.1-2013/CSA B44-13 Safety Code for Elevators and Escalators